Tuesday 27 November 2012

Muktamar PAS bukti Pakatan kian lemah


Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
SHAH ALAM - Muktamar Tahunan Pas kali ke-58 yang melabuhkan tirainya dua minggu lalu mencerminkan bahawa parti itu semakin lemah ekoran dua isu besar yang membadai parti itu, kata Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Menurut beliau, tindakan Pas mendoakan kehancuran Umno-Barisan Nasional dan desakan akar umbi parti komponen Pakatan Rakyat itu yang mahukan ketua mereka dilantik sebagai Perdana Menteri kelak membuktikan kelemahan pembangkang.

"Pertama, kemarahan umat Islam di Malaysia termasuk mereka yang berada di atas pagar dan ahli Umno, dengan sikap Pas yang mendoakan kehancuran Umno itu sendiri. 

"Ramai yang tidak setuju dan merasa marah. Mereka rasa walaupun ada perbezaan politik jangan ada yang mendoakan kehancuran orang Islam. Mereka beranggap ia politik yang ekstrem, penyalahgunaan agama untuk matlamat politik. Jika mendoakan kehancuran Umno bermakna mendoakan kehancuran ahlinya juga," ujar Khairy. 

Bercakap dalam satu wawancara khas bersama Sinar Harian, Khairy berpendapat, tindakan mendoakan kehancuran terhadap parti pemerintah pada hari ini sebagai "politik yang keterlaluan."

"Parti politik itu mempunyai ahli, mana ada parti politik yang tidak mempunyai ahli. Bagi saya parti Umno parti politik dan ia dianggotai oleh manusia dan umat Islam dan bukan ia dianggotai oleh binatang," tegas Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau.

Himpunan Kebangkitan Umat yang berlangsung di Kota Bharu pertengahan bulan ini mencemar muktamar tahunan Pas yang sedang berlangsung ketika itu apabila kira-kira 40,000 penyokongnya diperdengarkan doa supaya bala diturunkan untuk menghancurkan Umno-BN.

Doa yang dipimpin oleh adik Mursyidul Am Pas, Nik Razi Nik Mat itu menggemparkan negara sehingga menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan umat Islam di negara ini. 

Sementara muktamar kemudiannya dikejutkan dengan polemik jawatan Perdana Menteri apabila akar umbi Pas secara lantang menyuarakan hasrat hati mahukan ketua mereka menjadi Perdana Menteri.

Hal ini pastinya menimbulkan perasaan kurang senang terutama kepada individu yang disebut-sebut bakal menjawat jawatan itu apabila Putrajaya bertukar nakhoda. 

"Saya lihat (Datuk Seri) Anwar Ibrahim kini dalam keadaan tidak selesa, di mana kali pertama akar umbi Pas jelas memperkatakan bahawa mereka tidak mahu Anwar menjadi Perdana Menteri. 

"Perkara ini tidak pernah berlaku sebelum ini, di mana mereka berjaya menutup keresahan ahli-ahli Pas dengan persetujuan di peringkat pemimpin pakatan, di mana peringkat Presiden parti mereka bersetuju melantik Anwar sebagai Perdana Menteri. Ini tamparan kepada Anwar dan secara tidak langsung melemahkan PR," kata Khairy. 

Bahkan katanya, kelemahan PR jelas kelihatan apabila turut gagal mengemukakan Kabinet bayangan mereka.

"Ini menimbulkan tidak ketentuan, rakyat dan pelabur tidak suka perkara sebegini, mereka mahukan kepastian. Berbanding dengan Umno kita jelas, sekiranya menang pilihan raya nanti, jawatan Perdana Menteri itu adalah Datuk Seri Najib yang juga Pengerusi BN, ia kata sepakat semua parti yang bernaung bawah BN. Pas jika kita lihat jelas menolak Anwar, apa sebabnya kita tidak ketahui," katanya. 

Ditanya apakah muktamar Pas akan menjadi kayu pengukur Perhimpunan Agung Umno (AGM) 2012, Khairy berkata, "bagi kami apa yang berlaku dalam Muktamar Pas kami beranggap isyarat kepada rakyat soal politik yang keterlaluan, soal tidak kesepakatan mengenai calon Perdana Menteri, itu yang kami dapat gambaran daripada Pas."

"Kami ada perancangan tersendiri dalam Umno, dan kami tidak pernah menggunakan agama secara keterlaluan untuk memancing undi mana-mana pihak, Pas yang selalu berbuat sedemikian menggunakan agama," jelasnya.


sumber http://www.sinarharian.com.my/politik/muktamar-pas-bukti-pakatan-kian-lemah-kata-khairy-1.107473

Sunday 18 November 2012

PAS doa UMNO hancur




Kota Bharu: Ketika umat Islam di seluruh dunia mengutuk kekejaman rejim Israel dan mendoakan keamanan serta keselamatan rakyat Palestin, PAS mengadakan solat hajat dan berdoa supaya UMNO dihancurkan.

Solat hajat di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam kelmarin diimamkan adik Mursyidul Am PAS, Nik Razi Nik Mat sempena perhimpunan anjuran parti pembangkang berkenaan. Antara kandungan doa yang dipimpin oleh Nik Razi ialah meminta UMNO dan Barisan Nasional (BN) dijahanamkan seperti Firaun ditenggelamkan ke laut, Qarun ditelan bumi dan Namrud serta Abu Lahab dilaknati. 



Doa juga memohon supaya pembangkang mendapat jalan mudah ke Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, tindakan itu dikritik pelbagai pihak yang disifatkan tidak wajar, termasuk Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Mereka berpendapat ia jelas bertentangan dengan nilai murni dan ajaran Islam.

Harussani berkata, perbuatan memohon doa keburukan kepada orang Islam lain ditegah oleh agama. 
Beliau berkata, umat Islam sepatutnya berdoa supaya dihapuskan musuh agama dan bukan meminta supaya dihancurkan sesama Islam.

Perbuatan itu tidak bagus kerana ahli UMNO adalah Islam. Sepatutnya kita mendoakan yang baik untuk sesama Islam, katanya.

Dr Mohd Asri pula berkata, umat Islam sepatutnya berdoa supaya menghancurkan orang yang zalim tanpa mengira parti.

Janganlah berdoa menghancurkan UMNO kerana mereka juga umat Islam. Mungkin mereka ada kesilapan tetapi ahli PAS juga ada melakukan kesilapan, katanya.

Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Ismail Mina Ahmad berkata berdoa untuk menjahanamkan sesama Islam tidak dibenarkan.

Kita semua ada kekurangan masing-masing tetapi tindakan PAS itu agak keterlaluan. Parti itu sering melaungkan perpaduan ummah tetapi pada masa sama mereka yang sebenarnya menghancurkannya, katanya.


sumber http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PASdoaUMNOhancur/Article/

Saturday 17 November 2012

PAS Gila KUASA

 
SHAH ALAM – Pas semakin gila kuasa apabila sanggup menggunakan apa sahaja cara untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang demi memenuhi tuntutan nafsu untuk berkuasa.
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, usaha Pas untuk menggulingkan BN sehingga sanggup bersekongkol dengan PKR dan DAP serta mengetepikan isu yang lebih besar ditimbulkan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar membuktikan parti itu sudah terdesak.

Lebih mengelirukan, katanya, apabila kenyataan itu dikeluarkan oleh Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib bahawa agenda ke Putrajaya lebih penting daripada membahaskan isu mengenai kebebasan beragama.
“Saya rasa Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib perlu kaji semula kenyataan beliau. Jangan sampai ulama gila kuasa dan menghalalkan apa sahaja demi merampas kuasa,” katanya yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional.
Katanya, kenyataan itu boleh menimbul kekeliruan dan menggalak fanatisme, ekstrimisme dan keganasan dalam politik.
Sementara itu, Setiausaha Agung MIC, Datuk S Murugessan berkata, kenyataan itu menunjukkan Pas semakin terdesak apabila parti itu telah terkeluar dari landasan perjuangan mereka untuk menubuhkan negara Islam.

“Pas mestilah ada dasar dan hala tuju untuk diletakkan kepada kemahuan rakyat. Bukan menumpukan untuk menggulingkan BN. Ternyata Pas lebih menumpukan kuasa dari dasar perjuangan mereka,” katanya.
 

PANAS!!! Helah PAS Tarik Undi


Pengkalan Chepa: Setelah memperkenalkan pelbagai ‘fatwa’ kontroversi sebelum ini, Muktamar PAS Ke-58 di sini semalam, disogok dengan konsep tahaluf siyasi, untuk menghalalkan undi PKR dan DAP.

Konsep ini dianggap bercanggah dengan penegasan PAS dalam beberapa pilihan raya umum lalu yang menetapkan pengundi Islam hanya boleh mengundi calon Islam atau calon parti Islam. Ia juga bertentangan dengan pegangan PAS sebelum ini yang mengecap UMNO kafir kerana bekerjasama dengan MCA dan MIC.

Menjelaskan maksud tahaluf siyasi, Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, berkata ia adalah konsep kerjasama bersama rakan pembangkang berdasarkan al-Quran dan hadis.
Tanpa mengulas panjang, beliau berkata, ulama PAS akan memberi penjelasan mengenai perkara itu kepada ahli parti.

Hadi berkata, PAS akan meminta PKR dan DAP memberi undi kepada calon PAS yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Ia selaras keputusan ulama PAS mengarahkan semua ahlinya mengundi calon DAP dan PKR.

Pada PRU-13, ketiga-tiga parti akan meletakkan calon atas tiket dan lambang parti masing-masing kerana secara rasmi mereka tidak berdaftar sebagai pakatan pembangkang.
Memang itulah dan mereka pun kena undi kita jugalah, katanya dalam ucapan dasar bertema Negara Kebajikan Teras Perpaduan di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK) di sini, semalam.

Hadir sama Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat; Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail dan Naib Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw serta barisan pucuk kepimpinan PAS.

Abdul Hadi juga mendakwa sejak 50 tahun lalu, keseluruhan kuasa politik di negara ini disyaitani manusia yang menganggap diri mereka suci daripada kesalahan dan kelemahan.

Beliau juga sekali lagi menuduh UMNO menggunakan kalangan ula ma tertentu sebagai terompah untuk dipakai ke sana sini.

Mendakwa BN sengaja melambat-lambatkan PRU-13 kerana mahu menurunkan moral dan melemahkan kedudukan kewangan pembangkang, Abdul Hadi berkata, pelbagai isu juga akan digunakan bagi memancing undi.

Presiden PAS itu turut mengingatkan petugas PAS bersedia menangani kehadiran generasi muda Melayu yang didakwa menyokong PAS tetapi tidak mahu menjadi ahli.

Kempen menjelang PRU-13 banyak membabitkan perang siber dan persiapannya bukan lagi seperti apa yang pernah kita lalui sebelum ini.

Mahu atau tidak, suka tidak suka, petugas di semua peringkat mesti menguasai teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi menghadapi fenomena perang siber, selain berkempen menerusi laman sesawang, YouTube, Facebook dan Twitter selain ceramah serta media cetak, katanya.

Sumber Berita Harian